Cara Membuat Garam Seleri

Penulis memang gemar dengan daun sup dan daun seleri. Penulis memang sering membeli daun sup untuk tujuan perasa makanan dan menjaga kesihatan. Daun sup dan seleri dipercayai bagus untuk melancarkan pengaliran darah di dalam saluran darah. 

Namun di tempat penulis daun sup dijual secara ikat, dalam kuantiti yang agak banyak. Jadi penulis terpaksa memikirkan cara untuk menyimpan daun sup ini supaya tidak rosak dan tahan lebih lama. 

Salah satu cara penulis ialah membuat garam seleri. Penulis selalu menggunakan daun sup yang mana tergolong dalam keluarga seleri juga. Garam seleri tahan lama, dan jika kena cara boleh memberikan rasa yang sama dengan daun sup segar. Walaubagaimanapun daun sup dalam garam seleri adalah kering, jadi ianya tidak sesuai untuk tujuan hiasan. Namun kadangkala penulis taburkan juga di atas nasi goreng untuk menambah rasa. 

Cara membuat garam seleri adalah mudah. Ini adalah cara versi penulis. 

Mula-mula, rendamkan daun sup atau seleri dengan air garam. Dalam 5 minit. Kemudian bilas dengan air biasa sehingga bersih. 

Keringkan daun sup atau seleri dengan kain bersih atau tisu dapur. Keringkan semaksimum yang boleh. 

Kemudian, hiris daun sup atau seleri. Batang seleri dihiris nipis dan dipotong kecil. Lagi kecil, lagi cepat siap. 

Kemudian, ambil garam dan gaulkan dengan daun sup atau seleri yang dipotong tadi. Gaulkan sehingga garam meliputi daun dan batang. Kemudian lebihkan sedikit lagi garam sampai sama banyak dengan daun sup tadi. 

Setelah di gaul rata dan meliputi daun sup atau seleri tadi, tuang dan ratakan campuran di atas dulang yang rata. Ratakan sampai campuran agak nipis supaya ia cepat kering, mempunyai pengaliran udara yang baik dan tidak rosak. Jemur di tempat yang panas tetapi selamat dari binatang dan kotoran. 

Proses pengeringan mengambil masa bergantung pada suhu dan cuaca. Penulis mengambil masa dalam 3 hari untuk garam seleri betul-betul kering. Dan daun kekal berwarna hijau yang asal dan cantik. Serta rasa yang lebih segar. 

Setelah pasti garam seleri betul-betul kering, simpan ia di dalam bekas yang kering. Garam seleri juga boleh dikisar untuk mendapatkan tekstur yang halus, yang boleh digunakan dalam tepung salutan dan perapan. 

Daun sup dan seleri juga boleh dikeringkan dalam mesin pengering, atau dibakar perlahan di dalam oven atau kuali juga. Kemudian, dicampurkan dengan garam. Dan dikisar jika mahu. Tetapi rasanya akan sedikit berbeza jika daun berubah warnanya, namun tetap enak. 

Begitulah cara membuat garam seleri versi penulis. Semoga perkongsian kali ini bermanfaat. Terima kasih kerana sudi singgah. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pengat Pisang

Nasi Goreng Ikan

Kobis Goreng Kunyit