Sup Cendawan ( Mushroom Soup ) Yang Mudah
Sup Cendawan adalah menu yang digemari ramai. Di cicahkan dengan roti bawang putih atau roti kosong, memang enak. Dan boleh jadi mengenyangkan.
Terdapat pelbagai versi, resepi dan cara membuat sup cendawan ini. Kalini penulis ingin berkongsi resepi sup cendawan yang mudah, dan boleh tahan enak. Ianya lebih kepada cream of mushroom, daripada mushroom soup. Penulis belajar resepi yang nampak kompleks tapi tidaklah kompleks sangat, dan penulis permudahkan untuk penulis senang nak buat untuk sarapan.
Resepi ini hanya untuk semangkuk. Boleh makan untuk 1 hingga 2 orang.
Bahan-bahannya,
1/2 sudu besar tepung gandum
1/2 sudu besar butter ( kadang penulis guna saja marjerin atau tambah sedikit minyak )
250 ml atau segelas susu ( susu penuh krim menghasilkan sup lebih berkrim )
1/2 cawan cendawan
1/2 biji bawang besar di potong kecil
Garam secukup rasa
Serbuk lada hitam secukup rasa
Krim ( optional )
Cara membuatnya,
Ambil periuk yang sesuai. Buka api perlahan. Masukkan butter, tunggu sehingga mencair.
Setelah butter hampir semua mencair, masukkan tepung dan kacau tanpa henti sampai sebati. Dalam setengah minit.
Setelah campuran beraroma dan sedikit gelap masukkan cendawan dan bawang besar. Masukkan sedikit minyak atau susu supaya tidak hangit. Setelah seminit tutup api.
Biarkan seketika dalam 3 hingga 5 minit. Kemudian masukkan susu. Kacau rata dan hidupkan api sederhana perlahan. Susu haruslah sejuk atau pada suhu bilik, tidak boleh panas apabila roux (campuran butter dan tepung) panas. Kacau sebati dan tidak berketul.
Masak sampai beraroma dan sedikit pekat, serta bawang lembut.
Masukkan garam dan serbuk lada hitam secukup rasa. Boleh juga masukkan sedikit serbuk buah pala jika mahu.
Setelah itu masukkan sedikit krim jika mahu. Kacau rata dan tutup api. Biarkan menyejuk seketika untuk di kisar. Dikhuatiri sup akan menghambur keluar jika dikisar panas-panas.
Setelah sejuk sedikit, kisar sup mengikut tekstur yang dikehendaki.
Setelah siap, bolehlah dihidangkan. Boleh juga menambah herba yang diingini seperti daun parsley jika mahu. Jika kosong pun okay juga. Nak tambah sedikit butter pun boleh.
✳️Cendawan dan bawang boleh juga di tumis berasingan dalam periuk yang berbeza, kemudian ditambah ke dalam sup selepas susu ditambah. (Ini adalah cara yang penulis belajar sebelum penulis ubah suai kerana nak mudah). Bawang boleh di tumis sehingga sedikit kekuningan untuk rasa yang berbeza.
Semoga perkongsian kali ini bermanfaat untuk anda. Terima kasih.
Ulasan
Catat Ulasan