Kari Ikan

Penulis selalu suka juga makan kari. Kadangkala kita akan terasa nak makan kari juga. Rasa kari yang cukup rasa rempah dan masam, masin dan sedikit berlemak memang enak. Dimakan pula dengan nasi atau roti. Kadangkala bau kari melekat dijari. 

Sejak kecil penulis makan kari mak penulis. Kari mak penulis ialah sederhana pekat, rasa kari dan santan. Mak penulis bubuh santan yang agak banyak. Penulis mula belajar masak kari daripada mak penulis. 

Semakin penulis dewasa penulis mula suka juga masakan kari macam mamak. Rasa kari yang kuat dan melekat pada jari. Penulis suka rasanya yang tak lemak sangat tapi cukup rasa. Tapi penulis tak juga lupakan kari mak penulis. 

Penulis pun belajar dan cuba macam-macam resepi kari ikan. Sebab disamping kari ikan mak penulis, penulis nak belajar masak kari ikan yang penulis suka.

Akhirnya sekarang penulis dapat satu resepi kari yang penulis bolehlah puas hati. Tapi penulis akan terus belajar lagi supaya ia lebih sedap. Penulis simpan di sini resepinya. 

Jom tengok resepinya. 


Bahan-bahannya, 

🌿Separuh ekor ikan tenggiri saiz sederhana, dipotong. Bahagian kepala dan isi. Ikan lain pun boleh. 

🌿 1 biji bawang besar dihiris nipis. 

🌿 3 ulas bawang merah dihiris. 

🌿 3 ulas bawang putih dijadikan pes. 

🌿 1/2 sudu besar halba. 

🌿 Biji sawi jika suka. Dalam 1/2 sudu teh. 

🌿 Setangkai daun kari. (Jika ada)

🌿 1 1/3 peket rempah kari ikan. 

🌿 1/2 sudu besar serbuk cili. 

🌿 1 1/2 sudu besar asam jawa dijadikan air asam jawa.

🌿 1 biji tomato masak. 

🌿 3 hingga 5 biji cili tomyam. Dibelah sedikit. 

🌿 Sedikit kunyit. 

🌿 Garam secukupnya. 

🌿 Sedikit daun ketumbar dipotong, jika suka. 

🌿 1/3 biji kelapa dijadikan santan cair. Atau 1/3 kotak kecil santan dijadikan santan cair. 

🌿 Minyak untuk memasak. 


Cara membuatnya,

🌿 Sapukan sedikit kunyit dan 1/4 sudu teh garam kepada ikan. Ketepikan. 

🌿Masukkan dalam 1/3 cawan minyak masak. 

🌿Tumiskan bawang besar dan bawang merah. Sehingga naik bau. 

🌿 Masukkan pes bawang putih dan daun kari. Kacau rata. Masak sehingga naik bau. 

🌿  Masukkan biji sawi dan halba. Kacau sebentar. 

🌿Masukkan 1/2 cawan air. Masukkan rempah kari dan serbuk cili. Kacau rata. Jika kering tambahkan sedikit lagi air sampai mencukupi. 

🌿 Masak seketika sehingga pecah minyak. 

🌿Masukkan tomato dan cili. Kacau rata. Masukkan juga batang ketumbar. 

🌿 Masukkan air asam jawa. 

🌿 Kacau rata. Biarkan ia pecah minyak lagi. 

🌿 Masukkan ikan. Kacau rata dan biarkan seketika dalam 3 minit. 

🌿Masukkan santan. Dan sedikit air. Dapatkan kepekatan yang dikehendaki. 

🌿 Masukkan garam secukup rasa. 

🌿Masak sehingga ikan dan santan masak. Masak juga sehingga kuah kari rasa sebati dan matang. 

🌿Setelah itu, tutupkan api. Biarkan sebentar sebelum dihidangkan. Taburkan daun ketumbar sebagai hiasan jika suka. 

...

Penulis tak ambil gambar lagi. Bila penulis ada gambar penulis akan upload nanti. Diharapkan perkongsian ini memberikan manfaat kepada anda. Terima kasih kerana singgah di sini. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Resepi Bendi Goreng Yang Simple Dan Mudah

Resepi Daging Goreng Kunyit

Resepi Bihun/Mihun Goreng Bodoh