Laksa Penang

Kuah agak pekat. Dan penulis hanya ada ulam bawang je masa ni. 


Keluarga penulis asal pantai timur. Jadi biasanya kalau buat laksa, memang akan buat laksa lemak kuah putih pantai timur tu. Jarang yang amat buat laksa Penang atau Kedah. Apatah lagi laksa Johor atau Sarawak. Tapi penulis berazam untuk buat laksa-laksa lain tu satu hari nanti. 

Beberapa hari lepas memang mak penulis masak laksa kuah putih lemak tu lah. Tetapi rupanya laksa berlebih, kuah dah habis. Kalau kuah ada laksa habis senang je boleh celur laksa. Tapi laksa lebih, nak buat macam mana. 

Ada orang buat laksa goreng. Memang sedap. Tapi penulis tak confident nak masak tu. Takut tak sedap pula. Tak pandai lagi. 

Jadi penulis pun buat keputusan masak kuah laksa Penang untuk makan dengan laksa lebih tu. Penulis pun keluar ke pasaraya di deretan kedai depan rumah untuk beli daun kesum dan ikan sardin. Ikan sardin segar tu bukan ikan sardin tin. Sebab, entahla, dan kalau guna sardin tin pun boleh. 

Selepas tu penulis pun balik dan terus mula memasak. Mulanya penulis ingat penulis sorang je yang nak makan. Rupanya setelah kuah menggelegak abah penulis pun cakap nak juga. Mujur penulis tak buat untuk satu orang makan je haha. 

Kuah penulis masak pekat. Dan boleh 3 ke empat orang makan. Resepi ni penulis dapat dari beberapa orang seperti mak penulis, mak cik penulis dan mak cik jiran penulis yang memang orang Penang. Tapi dengan mak cik Penang penulis tak amik resepi dia sebab masa tu penulis kecil lagi belum memasak. Cuma dia ada bagitau petua dekat mak cik penulis. Penulis masukkan petua dia dalam resepi penulis. 

Ok jom tengok resepi laksa Penang penulis ni. Ia pekat juga ya. Boleh kurangkan ikan kalau nak kuah cair sedikit. 


Bahan-bahannya,

Untuk kuah,

3 ekor ikan sardin/Selayang anggaran berat dalam 330 gram. 

2 ulas bawang merah besar.

1/2 biji bawang besar. 

2 ulas bawang putih. 

7 tangkai cili kering. 

3 tangkai cili api. 

3/4 sudu besar belacan bakar.

4 ke 5 keping asam keping. 

1 1/2 sudu besar gula melaka. 

Garam.

Separuh bunga kantan. 

Daun kesum secukupnya. 

Sedikit ajinamoto jika mahu. 


Untuk ulam dan aksesori,

Sebiji bawang besar.

Beberapa biji limau kasturi. 

Sebiji timun. 

Dua biji lada besar. 

Daun salad jika ada. 

Nenas jika ada. 

Daun selasih jika ada. 

3 biji telur di rebus. 


Untuk laksa, 

Setengah bungkus laksa direndam 30 minit kemudian direbus. Setelah lembut masak toskan dan lalukan dengan air. 


Cara membuatnya,

Rebus ikan dengan air yang sedikit. Setelah masak dan air hampir kering, angkat dan biar sejuk sedikit. Asingkan isi dan tulang ikan. 

Blender bawang putih, bawang besar, cili kering, bawang merah dan cili api. Masukkan dalam periuk. 

Blender isi ikan dengan air yang hampir penuh. Masukkan dalam periuk yang sama. 

Ambil tulang dan kepala ikan, campur dengan segelas air dan blender/ kisar halus. 

Tapis kisaran tulang dan kepala ikan dengan penapis santan dan ambil air tapisan dan campurkan ke dalam periuk berisi kisaran bawang dan isi ikan tadi. 

Hidupkan api, masukkan asam keping. Kacau rata. Jika terlalu pekat, tambahkan air sehingga mencapai kepekatan yang dikehendaki. 

Masukkan daun kesum, bunga kantan, gula melaka dan garam. Kacau sebati. 

Masukkan belacan bakar. 

Setelah menggelegak, masukkan sedikit ajinamoto jika mahu. Rasa kuah laksa. 

Jika masih tak cukup rasa, tambahkan bahan perasa secukupnya. 

Setelah lama menggelegak, nampak kuah masak dan beraroma, tutupkan api dapur. 

Hiris bawang besar, timun, lada besar, daun salad dan nenas untuk ulaman. Setengah orang makan dengan daun selasih atau kemangi juga. 

Potongkan limau kasturi dan belahkan telur rebus. 

Sedia dihidangkan dan dinikmati. Kuah juga lebih enak pada keesokan hari. 

...

Semoga perkongsian penulis ini bermanfaat untuk anda. Sekian terima kasih. 

*Penulis ada membuat pembetulan kepada jumlah asam keping dari 6 ke 7 keping ke 4 ke 5 keping. Asam keping yang penulis guna adalah yang bersaiz kecil dan berwarna gelap. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Resepi Bendi Goreng Yang Simple Dan Mudah

Resepi Daging Goreng Kunyit

Resepi Bihun/Mihun Goreng Bodoh