Resepi Ikan Singgang Putih Kelantan
Ikan Singgang adalah makanan dari Pantai Timur yang nampak sangat humblenya. Ada ikan, dan kuahnya jernih pula. Nampak macam xsedapkan. Kuahnya macam air saja.
Tapi dalam kuah jernih tu ada pelbagai rasa yang boleh membuatkan kita menambah nasi berpinggan pinggan. Inilah yang terjadi kepada anak saudara penulis yang bertambah sampai 4 pinggan. Umurnya 7 tahun. Kalau masak sup ikan (panggilan dia pada ikan singgang) selalunya dia happy, dan bertambah nasi.
Ikan Singgang ni ada banyak versi. Ada yang ada bawang merah dalamnya ada yang warna kuning. Yang kuning tu sedap juga dan lagi banyak bahannya. Tapi yang penulis nak cerita kali ni ialah ikan singgang putih.
Ikan Singgang ni bahannya tak banyak, masaknya pun tak susah, campak dan reneh saja, tapi kalau tak kena caranya tak menjadi tau. Kalau jadi hanyir tu amatlaah ditakuti oleh penulis. Kesimpulannya bahan kena cukup. Api kena sesuai baru jadi kaw. Timing kena betul juga, masak awal-awal supaya rasanya sebati bila nak makan. Masa tulis resepi ni memanglah penulis rasa macam senang, tapi bila buat nanti baru berkeluh kesah, apala yang tak kena lagi ikan singgang ni... 😓
Bahan
- 1/2 ekor ikan tenggiri dipotong. Dari satu ekor, ambil bahagian tengah, bahagian kepala dan ekor boleh simpan masak kari. Selain tu boleh guna ikan tongkol juga.
- 1 labu bawang putih
- 2 inci lengkuas diketuk
- 1/2 sudu teh sos bilis/budu/sos ikan
- 7 biji cili padi
- 3 biji lada solok
- 2 ke 3 keping asam keping
- 1 inci x 1 inci x 1 cm nisse / gula melaka
- Garam secukup rasa
- Air
Caranya
- Ketuk bawang putih biar pecah2.
- Ketuk juga lengkuas biar pecah2.
- Ketuk juga cili padi.
- Penyek sikit lada solok.
- Masukkan semua bahan dalam periuk.
- Masukkan air sampai tingginya lebih kurang 1 inci dari ikan.
- Masaklah dengan api perlahan saja.
- Sampai ada nampak minyak ikan terapung2, atau sampai mendidih.
- Siap.
**Setengah orang masukkan ajinamoto juga. Terpulanglah kepada anda tapi biasanya penulis tak letak ajinamoto dalam singgang.
Ulasan
Catat Ulasan